| Dikemaskini Pada 02 Mei 2010
sebahagian daripada imam-imam memberikan tumpuan mengikuti kursus di Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) di Ipoh, semalam. - UTUSAN / HANAFI KHAMIS
IPOH 18 Feb. - Menyedari hakikat bahawa tugas dan tanggungjawab sebagai seorang imam adalah berat lagi mencabar, maka mereka perlu diperlengkapkan dengan ilmu secukupnya supaya mampu menjalankan tugas dengan berkesan.
Tanpa ilmu pengetahuan, institusi masjid bukan sahaja tidak dapat diurus dengan baik, malah masyarakat atau kariahnya bakal melalui kehidupan tanpa pembimbing ke jalan yang benar.
Peranan imam bukan sekadar untuk memimpin solat berjemaah atau fardhu ain tetapi lebih daripada itu khususnya untuk memainkan peranan dalam menggerakkan masjid menerusi aktiviti yang mampu menarik minat masyarakat.
Melihat kepada kepentingan itu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menganjurkan kursus profesionalisme kepada mereka yang bakal menjadi imam.
Kursus tersebut bertujuan melahirkan golongan imam yang berkualiti supaya dihormati dan disegani oleh masyarakat kariahnya.
Siri pertama kursus itu yang diadakan di Institut Tadbiran Islam Malaysia (Intim) Perak di sini melibatkan sebanyak 40 imam yang baru dilantik di Daerah Parit Buntar.
Sepanjang tiga hari kursus itu berlangsung bermula Isnin lalu, imam-imam baru itu didedahkan dengan aspek-aspek penting termasuk pengurusan masjid, bacaan dalam sembahyang dan menyediakan program-program dakwah serta tarbiyah.
Rata-rata peserta kursus yang ditemui bertambah yakin untuk mengimarahkan masjid di tempat masing-masing selepas mengikuti kursus tersebut.
Seorang peserta, Jamhari Zainal Abidin, 52, berkata, banyak yang dipelajarinya sepanjang tiga hari menyertai kursus tersebut.
''Seorang imam perlu mempunyai sifat amanah supaya dihormati dan ini akan memudahkannya untuk membimbing masyarakat ke arah kebaikan," katanya yang dilantik menjadi imam Masjid Mahyuddin di Batu Lima, Parit Buntar.
Mohd. Yusof Abu Bakar, 58, yang bakal menjadi imam di Masjid Rahmaniah, Tebuk Jawa di Sungai Bakau pula berkata, kursus itu berjaya membantu meningkatkan gaya bacaan ayat-ayat suci al-Quran.
''Dalam kursus ini, kami diajar gaya membaca al-Quran yang betul termasuk dari segi tajwidnya," katanya.
Imam Masjid Kampung Kedah, Ahmad Abdul Hamid, 65, berkata, kursus tersebut mengajarnya cara-cara untuk meneguhkan kekuatan iman.
''Saya juga belajar bagaimana hendak menjadi khatib untuk membaca khutbah semasa solat Jumaat,'' katanya.
Bagi Mohd. Fauzie Abd. Halid, 24, yang merupakan imam termuda menyertai kursus tersebut, seseorang imam hendaklah membimbing masyarakat dengan ikhlas kerana Allah SWT.
''Saya mahu ada generasi pelapis kepada imam-imam yang sudah berumur dan sebagai orang muda juga akan memudahkan saya mendekati golongan remaja untuk mengajak mereka menyertai jemaah.
''Saya juga akan pastikan masyarakat Islam di kawasan kariah bersatu walaupun terdapat perbezaan fahaman politik,'' katanya.
sebelumnya





